Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang Datuk Seri Dr Omar Othman meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 6.52 pagi tadi akibat komplikasi kanser.

Allahyarham Omar, 70, merupakan ADUN Bukit Betong bermula 1986 sebelum menjadi ADUN Jelai pada 1990 hingga 2004 selain pernah dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (exco) selama tiga penggal bermula 1991 yang menjaga portfolio kemudahan asas, pembangunan luar bandar dan pelancongan.

Anak kedua beliau, Ahmad Taufiq, 39, berkata bapanya disahkan menghidap kanser usus sebelum merebak ke hati, prostat dan buah pinggang menyebabkan kesihatannya mula merosot sejak setahun lalu.

"Arwah baru menjalani pembedahan pada Selasa lalu dan dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu, namun dikejarkan semula ke unit rawatan rapi (ICU) hospital sama pada sebelah malam selepas mengadu sesak nafas," katanya semasa ditemui Bernama di rumahnya di Medan Tok Sira di sini, hari ini.

Ahmad Taufiq berkata jenazah bapa akan disembahyangkan di Masjid Medan Tok Sira sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini selepas solat zohor.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Seri Mimi Asmara Abdul Malik, 68, dan lima orang anak serta empat cucu.

Anak jati Kuala Medang, Lipis, ini aktif dalam sukan dan merupakan Naib Presiden III Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang serta Naib Presiden Kelab Golf Diraja Pahang selain dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan Anugerah Sukan Pahang.

Ahmad Taufiq berkata minat sukan yang mendalam dalam diri arwah, menyebabkan bapanya masih melakukan kerja yang diamanahkan walaupun berada di hospital dengan meminta dokumen berkaitan dihantar kepadanya.

"Selain itu, ayah juga amat rapat dengan masyarakat Orang Asli sehinggakan boleh bertutur dalam bahasa mereka. Kebanyakan masanya dihabiskan bersama rakyat di kawasannya dan arwah berada di Kuantan hanya pada hari mesyuarat exco atau jika mempunyai tugasan rasmi lain.