Baru empat bulan bekerja, keinginan empat pengawal keselamatan untuk menyembunyikan wang yang dibawa mereka tidak kesampaian.

Taktik licik mereka berjaya dipatahkan apabila diberkas pihak berkuasa di rumah masing-masing di Raub dalam tempoh kurang 24 jam pada 15 November lalu.

Kejadian itu dikesan juruaudit pusat pengurusan tunai di Kota Damansara, Selangor apabila empat beg kanvas bernilai RM2.1 juta yang dihantar suspek tidak cukup jumlahnya.

Berdasarkan audit yang dibuat, satu beg kecil yang memuatkan wang tunai sebanyak RM600,000 hilang.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, kesemua suspek yang bekerja di syarikat kawalan keselamatan di cawangan Raub itu diamanahkan untuk memindahkan wang hasil kutipan dari bank-bank di sekitar daerah Raub untuk di hantar ke pusat pengurusan tunai di ibu pejabat syarikat kawalan keselamatan berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua suspek itu didapati melanggar prosedur standard operasi (SOP) apabila berhenti di dua lokasi sekitar daerah Bentong, bagi tujuan mengisi minyak.

Hasil siasatan yang dilakukan ke atas empat-empat merek yang berusia antara 29 hingga 51 tahun itu, dua suspek utama dipercayai terlibat dalam jenayah itu.

Bagaimanapun, polis juga, kata beliau, tetap meneruskan siasatan ke atas dua suspek lain.

“Pusat kutipan telah membuat laporan dan pihak polis dengan segera dalam tempoh 24 jam telah menahan kempat-empat pengawal keselamatan ini.

"Hasil daripada soal siasat dan siasatan yang menyeluruh, pihak polsi telah berjaya mengesan kehilangan wang berjumlah RM600,000 yang disembunyikan di sebuah bilik hotel di pekan Raub," kata Abd Jalil dalam sidang media pada Khamis.

Berdasarkan siasatan menyeluruh, Abd Jalil berkata, dua suspek disyaki terlibat secara langsung dalam kehilangan RM600,000 itu.

Menurut Abdul Jalil, semasa dalam perjalanan membawa wang empat beg kanvas bernilai RM2.1 juta itu ke Kota Damansara, sespek utama telah mengambil wang RM600,000 dengan menyeluk ke dalam beg kanvas simpanan tunai dan mengalihkan ke dalam beg peribadi.

Selesai urusan penghantaran ke ibu pejabat, suspek pulang ke Raub dan bertindak menyewa sebuah bilik hotel selama tujuh hari dengan tujuan untuk bertenang dan menyimpan wang yang disonglap itu di dalam sebuah almari.

Sehubungan itu, polis menasihatkan syarikat pengendali meningkatkan prosedur keselamatan bagi mengurangi kes pecah amanah yang serupa termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan serta dipasang peranti sistem navigasi satelit, GPS.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 hingga 22 November ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.