Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar cuti bersalin untuk bapa diberikan selama sebulan kepada kakitangan kerajaan dan swasta dengan bayaran gaji penuh.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, ia berikutan cuti sedia ada yang diperuntukkan untuk pekerja disifatkan sebagai tidak mencukupi.

Ketika ini, cuti bersalin untuk bapa adalah selama tujuh hari untuk kakitangan kerajaan, manakala bagi kakitangan swasta bergantung kepada majikan masing-masing atau dipanggil cuti ihsan.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita teliti paternity leave kerana apa yang kita lihat masa sekarang untuk perkhidmatan awam mereka dapat tujuh hari, kadang-kadang ada negeri dua minggu dan di swasta kalau keutamaan dia bagi lima hari atau kurang, dan ada kebanyakan syarikat swasta tidak beri peluang bapa berada di sisi semasa anak dilahirkan," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Justeru katanya, kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang berkaitan bagi memastikan cuti bersalin untuk bapa dengan bayaran gaji penuh dikuatkuasa dalam akta berkenaan.

"Ketika ini, tiada peruntukan dalam mana-mana akta yang memasukkan cuti bersalin bergaji untuk bapa. Malah, Akta Kerja 1955 juga tidak menyentuh mengenai paternity leave itu. Jadi kerajaan perlu mewujudkan undang-undang berkaitan demi pembangunan institusi sesebuah keluarga," kata beliau lagi.

Cadangan MTUC itu juga susulan kebanyakan kes melibatkan pospartum psikosis atau meroyan yang dihadapi ibu-ibu selepas bersalin sehingga ada antara mereka yang bertindak mencederakan atau lebih menyayat hati membunuh bayi mereka.

Cuti yang lebih panjang untuk suami menjaga isteri dan anak dengan lebih baik dan mengatasi masalah perubahan emosi wanita selepas bersalin.

“Kita tidak mahu kejadian seperti yang menimpa golongan ibu selepas bersalin baru-baru ini yang bertindak membunuh bayinya kerana dipercayai akibat Pospartum Psikosis. Janganlah kita biarkan lebih ramai yang meninggal baharu kita hendak bertindak sesuatu,” ujar Soloman.

Oleh itu katanya, penjagaan rapi ibu bersalin oleh keluarga terutama suami akan dapat memastikan kejadian berkenaan tidak akan berulang.

Tambahnya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan cadangan berkenaan selaras dengan keperluan institusi keluarga dan ke arah matlamat negara menuju kepada sebuah negara maju.

"Kerajaan harus memberi perhatian kepada perkara-perkara asas seperti memberi sebulan cuti bergaji paternity leave. Ini akan membawa satu kebaikan dan akan melahirkan generasi muda yang lebih sihat, hubungan keluarga yang sihat demi masa depan negara Malaysia," katanya lagi.

Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Norway direkodkan sebagai negara paling banyak memberikan cuti bersalin bergaji untuk bapa iaitu 112 hari.