Lebih 5,547 pesawah di dua daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah mengalami kerugian lebih RM14.5 juta ringgit akibat banjir di Pulau Pinang yang melanda negeri itu sejak Sabtu lepas.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sehingga kini pihaknya telah mengenalpasti sekurang- kurangnya 9,680.82 hektar kawasan padi yang terjejas teruk.

Katanya, Seberang Perai Utara mengalami kerosakan padi paling teruk iaitu 7,088 hektar membabitkan 4,557 pesawah manakala 990 pesawah di Seberang Perai Tengah membabitkan keluasan tanaman padi 2,592 dan mereka terpaksa melakukan proses penanaman semula.

"Kita dapat maklum padi musnah itu dah berumur 30 hari, kos untuk tanam semula padi ini sehingga tiap bajak semula.kena bajak semula.dan tabur benih dan benih kos benih lain-lain.

Katanya, melalui proses penilaian dibuat pihaknya akan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Kementeriannya , untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun katanya, bantuan berupa input pertanian itu bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

"Kita akan bincang jumlah kerosakan. Kemungkinan kerajaan bukan beri tunai, mungkin bagi bantuan input pertanian untuk tanam semula. Kena ada benih baja tanah input," kata pada majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir Permatang Pauh di Pusat Komersil Permatang Pauh di sini hari ini.

Kira-kira 500 petani dan pesawah yang terjejas banjir menerima bantuan awal pada majlis berkenaan.

Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperuntukkan RM9.3 juta sebagai bantuan penanaman semula kepada pesawah yang terjejas di Pulau Pinang dan Kedah.

Kira-kira 10,516 hektar sawah padi terjejas dengan bencana banjir besar melanda di kedua-dua negeri itu berdasarkan laporan awal yang diterima pihak kementerian.

Hujan yang turun lebih 15 jam pada Sabtu lalu diikuti angin kuat menyebabkan hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 meter dan satu meter.