Seramai 12 penduduk dari enam keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila rumah mereka di Kampung Klah Baru di sini dilanda banjir kilat malam tadi.

Mangsa terdiri dari empat lelaki dewasa, lima wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.55 malam.

“Anggota bomba membantu memindahkan mangsa ke PPS dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Menurutnya, tinjauan di kawasan itu dilakukan dari semasa ke semasa untuk memantau keadaan banjir.