Pengguna jalan raya yang mula bergerak ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri ini dinasihati supaya menjaga adab dan akhlak ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar berkata ia berikutan 80 peratus kemalangan jalan raya berpunca daripada faktor sikap pemandu itu sendiri.

"Punca utama kemalangan di jalan raya adalah daripada perangai, akhlak dan sikap pemandu itu, ini bermakna bahawa 'human factor', manusialah yang kalau cuai, tak berdisplin, menggunakan telefon (ketika memandu) maka inilah yang akan jadi faktor utama kemalangan berlaku.

"Jadi seruan saya kepada semua pemandu kereta, pemandu bas, pemandu lori dan kenderaan lain supaya anggaplah bahawa keutamaan kita adalah untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat," katanya selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sempena Aidilfitri di Plaza Tol Gombak, hari ini.

Kamaruddin berkata pihaknya melalui agensi-agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) komited untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya yang melibatkan kematian, melalui pelbagai program.

"Tahun ini kita bertekad mahu kurangkan purata kematian akibat kemalangan, sebab tahun 2017 kita rekodkan purata kematian akibat kemalangan (sehari) sebanyak 19 manakala tahun lepas sebanyak 18," katanya.

Kamaruddin turut meminta penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati dan sentiasa memakai topi keledar walaupun berada di jalan luar bandar memandangkan 63 peratus kemalangan maut melibatkan golongan itu.

"Kerjasama kerajaan negeri dan agensi penguat kuasa di peringkat negeri harus ditingkatkan bagi pastikan jumlah kemalangan dapat dikurangkan," katanya.

Menerusi program anjuran Kelab Budayawan Aktif Gombak itu, sebanyak 450 'goodies bag' yang turut mengandungi risalah keselamatan jalan raya diserahkan kepada pengguna lebuh raya yang melalui Plaza Tol Gombak.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pengarah MIROS Dr Siti Zaharah Ishak dan Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, Pengarah Anih Berhad, pemegang konsesi LPT.

-- BERNAMA