Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik pengumuman peruntukkan untuk pihak polis yang dibuat di dalam Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, peruntukkan tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi menjayakan semua program dan aktiviti untuk mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Nyata aspek kebajikan PDRM juga mendapat perhatian kerajaan dan PDRM sangat menghargai dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Di dalam Bajet 2014, kerajaan memperuntukkan RM8.8 bilion kepada PDRM.

Najib berkata, peruntukan itu menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam selain komited dalam membanteras jenayah.

Dalam membanteras jenayah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi melengkapkan PDRM dengan senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik.

"Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peruntukan RM20 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat Jumaat.

Menteri Kewangan itu juga berkata, kerajaan akan menambah 200 buah motosikal lagi untuk Unit Rondaan Bermotosikal PDRM tahun depan, menjadikannya 2,000 buah motosikal dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata bagi memperkasa perkhidmatan PDRM, kerajaan akan membina dan menaik taraf ibu pejabat polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kuarters kakitangan dengan peruntukan RM128 juta.

Peruntukan itu termasuk pembinaan IPD baharu di Pasir Mas (Kelantan), Kota Setar (Kedah), Johor Baharu Selatan (Johor), Sipitang (Sabah), Nusajaya (Johor) selain pembinaan balai baharu di Pengerang (Johor), Tongod (Sabah) dan Country Homes Rawang (Selangor).