Sindiket pengedaran dadah dikenal pasti telah beralih ke dalam talian untuk menjual bahan terlarang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun muslihat itu berjaya dikesan atas maklumat orang awam, lantas pihak berkuasa bertindak dan menangkap 17 individu di Lembah Klang dalam Op Slayer pada 29 dan 30 April lepas.

Operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik terbabit berjaya merampas 215 botol disyaki mengandung dadah cecair berasaskan ganja dan ketamin bernilai RM58,400.

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Datuk Ramli Din berkata seramai 69 anggota dan pegawainya terlibat dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, trend penjualan dadah secara ‘online’ ini pernah dilakukan pada tahun 2015, bagaimanapun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekang sindiket itu.

Jelasnya, modus operandi ini disyaki muncul semula berikutan pergerakan sindiket dadah yang terbatas akibat banyak sekatan jalan raya dilakukan ketika PKP.

Dadah jenis hemp, canabis oil (cannabidiol) dan THC (tetrahydrocannabinol) terbabit dipercayai dibawa masuk ke negara ini dan satu botol cecair berkenaan berharga antara RM200 hingga RM300.

“Kalau dilihat dalam promosi tersebut, kotak-kotak ini ada menulis tentang hemp, CBD dan juga THC. Maka, semua ni adalah produk-produk yang berasaskan ganja dan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Dulu (kes seumpamanya) pernah berlaku dalam tahun 2015 tetapi kita telah berjaya menangkap dan kemudian aktiviti ini telah hilang dan kini muncul kembali.

“Ini (bahan terlarang) semua diimport kita percaya diimport dan sepertimana yang kita tahu di sesetengah negara, ini tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi di negara kita, ini merupakan kesalahan yang berat dan tidak ada seorang pun boleh mempromosi ataupun menjual dadah mengikut apa saja cara sekalipun,” tegas Ramli.

Suspek berusia 20 hingga 56 tahun itu termasuk seorang warga asing yang juga pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi dan seorang wanita lagi berstatus penduduk tetap.

Mereka terdiri daripada penganggur, peniaga, pelajar, pekerja penghantaran dan pengamal bank.

Sementara itu, lima daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau dan dadah.

Polis mengambil dua tindakan iaitu terhadap pemilik barangan dan pemilik akaun laman web yang menjadi medium promosi dadah berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang pernah membeli barangan bekalan dadah jenis ini digesa menyerahkan kepada balai polis terdekat bagi membantu siasatan.