Kesemua produk yang dihasilkan di Bagan Datuk akan diletakkan label 'Bagan Datuk Ori' pada pembungkusannya untuk mempopularkan lagi produk-produk berkenaan di peringkat antarabangsa.

Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahidi berkata beliau juga akan meluluskan sebuah tempat jualan khusus untuk menjual kesemua produk berkenaan di Dataran Bagan Datuk.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata pihaknya akan membantu pihak yang berkenan untuk membantu memasarkan produk-produk dari Bagan Datuk secara lebih holistik.

“Semua produk ini saya dah luluskan penjenamaannya, kena letak 'Bagan Datuk Ori', membantu memasarkannya supaya ia lebih dikenali ramai.

“Saya juga telah meluluskan sebuah tempat jualan untuk menjual produk-produk ini, dengan jenama ini di Dataran Bagan Datuk,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan selepas lawatan kerja ke QL Resources Berhad di sini, pada pagi Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau juga menyokong penuh cadangan syarikat QL Resources Berhad yang berasaskan produk makanan laut untuk membesarkan kilangnya ke keluasan 20.2 hektar(50 ekar) dalam masa terdekat.

Jelasnya, beliau yakin bahawa inisiatif tersebut akan dapat membangunkan pelbagai peluang pekerjaan khususnya untun anak tempatan di sekitar daerah Bagan Datuk.

“Ini tentunya akan memberi peluang kepada golongan professional untuk balik ke Bagan Datuk. Walaupun terdapat sistem automasi (mesin) namun tenaga kerja daripada warga tempatan masih diperlukan.

“Ini pesanan saya, utamakan rakyat tempatan, di sekitar daerah ini,”katanya lagi.

Ahmad Zahid turut melahirkan rasa bangganya terhadap QL Resources Berhad, yang merupakan syarikat tersenarai Bursa Malaysia yang mempunyai nilai eksport RM3.5 billion, yang tidak melupakan kerjasama bersama nelayan tempatan sekitar daerah tersebut.

“Syarikat ini juga mengeluarkan produk-produk berasaskan ikan daripada nelayan-nelayan yang berada di bagan-bagan sekitar Bagan Datuk, ini bermaksud mereka tidak bergantung kepada keuntungan runcit sahaja,” ujarnya lagi.