Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan bahawa beliau memiliki lebih RM300 juta yang dikatakan disembunyikan di luar negara.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan yang berniat jahat dan cubaan mencemarkan reputasinya.

“Ini tuduhan palsu, yang berniat jahat dan kita tidak harus melayani fitnah dan tohmahan ini. Siapa yang buat tuduhan kena tampil ke hadapan dan buat laporan secara bertulis.

"Jangan buat tuduhan tidak berasas dan fitnah,” katanya kepada media semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Ahad.


Jelasnya lagi, tuduhan berkenaan tidak sepatutnya diwujudkan pihak-pihak terlibat dalam suasana aman hari ini.

Justeru, beliau menggesa pihak terlibat agar tampil dengan bukti kukuh sebelum membuat tuduhan.

“Jadi mana-mana individu yang yakin ada bukti yang kukuh, tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan ini dapat dilakukan. Bagi saya, ini satu percubaan jahat dan satu fitnah untuk mencemarkan reputasi saya,” ujarnya.

Malah beliau mengakui tuduhan seumpama itu bukan baharu.

Ditanya sama beliau sedia untuk mengisytiharkan harta bagi menjelaskan tuduhan berkenaan ini jawapannya:

“Memang kita telah amalkan. Di Selangor sejak 2008 dasar kita ialah semua pihak eksekutif melaporkan aset supaya ketelusan dan kebertanggungjawaban ini menjadi prinsip dalam pentadbiran,” tambahnya.

Azmin mengulas dakwaan blogger 'Toyol Of Selangor' yang mendakwa dalam tulisan di blog pada 18 Jun lalu bahawa Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin mempunyai banyak akaun bank di luar negara.