Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dalam pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam satu kenyataan Azalina yang baru dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menjelaskan, menurut Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding di Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dicabar di mahkamah.

Beliau turut merujuk keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes bekas Speaker DUN Perak V. Sivakumar dan Datuk R. Ganesan memutuskan bahawa, sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan mempunyai kuasa untuk memilih atau memecat Speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Speaker adalah terletak di luar bidang kuasa mahkamah untuk membuat penghakiman.

"Malah, YB Teluk Intan telah meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum usul pelantikan saya di bawah Peraturan Mesyuarat 6, Dewan Rakyat dibacakan.

"Justeru, saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku.

"Walau bagaimanapun, memandangkan perkara pada masa ini berada dalam pertimbangan mahkamah, saya juga sebagai seorang pengamal undang-undang, menyerahkan kepada pihak mahkamah bagi mengadili perkara tersebut," katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen lain mengemukakan saman pemula di mahkamah bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Azalina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Melalui saman pemula itu, mereka menuntut pengisytiharan pelantikan Azhar dan Azalina pada 13 Julai 2020 adalah tidak sah, tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.

Selain Dr Mahathir, turut memfailkan saman pemula itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.