Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyarankan agar perlunya penyelenggaraan menyeluruh di seluruh Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Wan Azizah melalui laman Twitternya turut menzahirkan rasa simpati dan terkejut dengan insiden lif terhempas di PPR Kampung Kerinchi petang Jumaat.

“Terkejut mendengar insiden lif di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi. Simpati buat lapan mangsa yang mengalami kecederaan. Semoga diberikan kesembuhan yang sempurna. Perlu audit penyelenggaraan yang menyeluruh untuk semua PPR," katanya.

Wan Azizah merujuk kepada kejadian yang menimpa PPR Kampung Kerinchi di mana lif yang dinaiki oleh penghuninya terhempas dan menyebabkan lapan orang cedera termasuk kanak-kanak.

Sebuah lif yang dinaiki lapan individu termasuk kanak-kanak terhempas dari tingkat lima ke tingkat bawah di sebuah daripada bangunan PPR Kampung Kerinchi kira-kira pukul 2.30 petang ini.