Kejadian letusan Gunung Berapi Sinabung tidak akan menjejaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini meskipun asap debunya menghala ke arah timur dan tenggara Pulau Sumatera.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, asap debu itu bagaimanapun dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri-negeri di utara serta timur Semenanjung bermula malam ini.

Katanya, keadaan ini hanya boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras ketinggian 1,524 meter hingga 4,267 meter dari permukaan.

"Kita jangka kesan letusan itu boleh sampai ke udara di Selat Melaka dan Semenanjung Pantai Timur tetapi, hanya menjejaskan kualiti udara untuk penerbangan sahaja.

MetMalaysia, IPU, Jerebu

"Sehubungan itu, kita juga telah mengeluarkan amaran kepada operasi penerbangan untuk mengelakkan daripada menggunakan laluan itu kerana dibimbangi akan menjejaskan keselesaan penerbangan," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, Jailan berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia dijangka tidak akan menjejaskan kualiti udara di negara kita.

"Tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara kita akibat letupan gunung berapi tersebut.

"Keadaan semasa IPU di seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang biasa (baik dan sederhana)," katanya.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.

Gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia kembali meletus pagi ini selepas tidak pernah meletus sejak tahun 1600 dan kembali aktif pada 2010 dan letusan terakhir dilapor berlaku pada Februari 2018.