"Hati ibu mana tidak sedih apabila tak dapat nak cium, nak peluk arwah anak buat kali terakhir tapi Che kena reda, arwah meninggal di tempat comel di bulan Ramadan pula," kata Che Zaharah Che Mat, 74, ibu Allahyarham Mohd Zaki Ibrahim.

Mohd Zaki, 52, bekas ADUN Kelaboran meninggal dunia malam tadi di Mekah akibat komplikasi kencing manis.

Jenazahnya disolatkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di tanah perkuburan Ma'la Mekah selepas solat zohor waktu Arab Saudi, hari ini.

Che Zaharah berkata tiada apa yang pelik ketika dia mahu berangkat menunaikan umrah minggu lepas.

Malah, katanya, Allahyarham sempat berbuka puasa bersama keluarga dan keadaannya nampak sihat walaupun kakinya bengkak akibat kencing manis.

"Kakinya baru sahaja selesai rawatan membuang nanah, sebab itu kakinya berbalut dan berkerusi roda ketika di Mekah.

"Pada mulanya dia tak mahu pergi mengerjakan umrah kerana kakinya sakit tetapi saat akhir dia beriya-iya mahu ke sana.

"Sudah ketentuanNya, matinya di bumi Mekah, Che reda," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Nyior Palekbang, di sini, hari ini.

Che Zaharah berkata ketika dimaklumkan anak sulungnya daripada tujuh beradik itu koma, dia mula rasa tidak sedap hati.

Katanya lagi, selepas berbuka puasa malam tadi hatinya mula berdebar-debar seperti ada sesuatu yang berlaku dan saat itu dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan Allahyarham sudah menghembuskan nafas terakhir.

"Allah sahaja yang tahu perasaan Che masa itu, kami anak beranak merancang untuk ke Mekah melawatnya namun tidak kesampaian.

"Baru empat hari lalu dia ada menghubungi Che, bertanya khabar dan memberitahu dia sihat di Mekah tetapi hari ini dia sudah tiada.

"Pemergiannya amat dirasai kerana arwah rapat dengan Che, dia anak yang baik," katanya.

Menurutnya, sejak Allahyarham 'berehat' dalam politik setahun lalu, dia banyak meluangkan masa bersamanya.

"Mudah-mudahan Che diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan Haji dan melawat kubur arwah di sana suatu hari nanti," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Mohd Zaki dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Abdul Aziz pada 29 Mei lalu berikutan komplikasi kencing manis.

Allahyarham menunaikan umrah bersama isteri dan empat anaknya sejak seminggu lalu dan dijadual pulang ke tanah air pada 2 Syawal ini (6 Jun).