GAMBAR kawasan paya berumput berlatarbelakangkan Bukit Nakawan di Kampung Sahabat, Perlis bukan sebarang gambar – komposisinya amat mencuit hati hingga berjaya menarik perhatian Apple.

Perakam imej into bukan jurugambar profesional tetapi seorang anak muda dari Kampung Guru di Kangar, Dinie Aiman Sukhaizar, seorang penuntut tahun satu di Univeriti Utara Malaysia.

Dinie, 20, menuntut bidang Pengurusan Industri Kreatif dan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan fotografi sebagai jurugambar separuh masa.

Gambar yang dirakam Dinie yang kini menerima tontonan, bualan dan renungan satu dunia sebenarnya pemandangan paya berumput berlatarbelakangkan banjaran bukit yang dikenali sebagai Bukit Nakawan (ada juga yang menyebutnya sebagai Bukit Cabang). Dalam kalangan mereka yang berbangsa Siam, bukit yang sama dipanggil Bukit Satun.

Menurut Dinie, beliau hanya memuat naik di laman Instagram @dinnyaiman (dengan 2,500 pengikut dan meningkat) pada bulan Jun.

Pada bulan November, Dinie dihubungi wakil Apple untuk mendapat kebenaran menggunakan imej tersebut di laman Instagram gergasi teknologi itu sendiri.

Satu dunia memberi reaksi apabila gambar hasil kerja Dinie dierbitkan di laman Instagram Apple yang mempunyai 21 juta pengikut. Paparan di Apple diiringi keterangan gambar; “Humanity turns a picture into a story” (Kemanusian menjadikan gambar biasa satu cerita).

Gambar asal dimuat naik lengkap dengan keterangan karangan Dinie sendiri: “Seorang pemuda yag menikmati pemandangan pada waktu pagi dan bunyi angin betiup kencang dan kedengaran bunyi burung berkicauan. Selain itu, perasaan pemuda itu keseronokan menikmati keindahan alam yang jauh berbeza berbanding di kota raya.”

Menurut Dinie, dia menggunakan iPhone 7 Plus dan meminta rakannya untuk menjadi 'model’ berlatarbelakangkan Bukit Nakawan/Bukit Cabang.

Menyentuh tentang masa hadapan, pengiktirafan Apple ini menguatkan lagi azam Dinie untuk menceburi bidang fotografi sebagai satu profesion.

Reaksi memuji kreativiti dan ketepatan fotografi turut diterima Dinie setelah Apple memberi ruang publisiti yang meluas.

Namun, tidak kurang pula kalangan mereka yang irihati melontar kenyataan yang mempersoal kualiti imej digital yang didakwa lebih baik jika menggunakan jenama pesaing.