Operator kedai dan premis perniagaan di seluruh negeri Sarawak diingatkan untuk sentiasa mengemas kini aplikasi COVIDTrace dan QMUNITY.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, proses ini penting bagi menjamin proses pengesanan kontak berjalan lancar.

“Ketika saya pergi ke salah satu pasar, saya mencuba aplikasi COVIDTrace dan ia tidak dikemas kini.

“Oleh itu, kita (JPBNS) menasihatkan agar operator untuk pastikan mereka mengemas kini semua aplikasi COVIDTrace kerana ia berfungsi untuk memantau individu yang pernah berkunjung ke premis mereka,” kata Uggah.

Aplikasi COVIDTrace dibangunkan oleh kerajaan negeri menerusi Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS).

Manakala aplikasi QMUNITY dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama JT Utama Sdn Bhd, ARx Media Sdn Bhd dan Huawei Cloud.

Sementara itu menerusi sidang media sama, Uggah mengumumkan warga asing yang sudah berada di Malaysia untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari, dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu menjalani kuarantin.

Bagaimanapun mereka perlu memohon kebenaran daripada JPBN Sarawak melalui laman sesawang http://sdmc.sarawak.gov.my.