Sejumlah 48 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut ini adalah lima tumpuan mengenai pelaksanaan PKPP hari ini:

1) SOP pembukaan sekolah: Pihak sekolah hanya perlu memastikan penyediaan sabun atau cecair pembersih kuman (hand sanitizer) dan melakukan saringan gejala dan suhu badan.

2) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, 5 individu direman manakala 43 individu lagi dikenakan kompaun.

3) PDRM melakukan 66 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,151 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus. Lima warganegara asing ditangkap kerana kesalahan imigresen.

4) Dari 10 Jun sehingga 16 Julai 2020, 19,298 daripada 19,372 individu yang disaring di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing. 74 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

5) Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 3,174 tapak binaan manakala 541 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran.