Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa tidak didakwa berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), lapor Sinar Harian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata pihak pendakwa raya telah meneliti kertas siasatan isu terbabit sebelum keputusan itu dibuat.

BACA: Annuar Musa tampil beri keterangan di SPRM

“Setelah diteliti, diputuskan oleh pendakwaraya untuk tidak mendakwa beliau (Annuar).

“Ini kerana keterangan-keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

BACA: Saya akan ke SPRM - Annuar Musa

Selain itu, Sinar Harian turut melaporkan, kertas siasatan terhadap Annuar telah selesai beberapa bulan lalu dan telah diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk disemak.

Dalam pada itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin menafikan khabar angin Annuar akan kembali ke agensi itu atau mana-mana anak syarikat Mara.

BACA: Annuar Musa kembali ke MARA hanya khabar angin - Pengerusi MARA

“Saya secara rasmi tidak mendengar Annuar akan kembali ke Mara. Khabar angin mungkinlah,” katanya.