Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff menyifatkan pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) satu "penghormatan dan amanah yang amat besar."

Sehubungan itu, Anis Yusal merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V atas kepercayaan yang amat tinggi oleh pihak kerajaan dan negara terhadap beliau.

Beliau berjanji akan melaksanakan amanah yang diberikan itu dengan sebaik yang mampu dan akan membantu Pengerusi EAIC yang baharu, Datuk A. Aziz A. Rahim dalam melaksanakan tugas yang diberikan kepada suruhanjaya itu.

"Pada masa yang sama, saya mengharapkan kerjasama dan sokongan semua pihak bagi membolehkan EAIC menunaikan fungsinya dan amanah yang diletakkan dengan efektif," katanya dalam kenyataan berhubung pelantikan selama tiga tahun bermula 1 Nov lalu itu.

Anis Yusal sebelum dilantik sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif INTEGRITI merupakan antara pesuruhjaya EAIC pada penggal yang lalu, bermula dari 14 Okt 2014.

Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan enam anggota EAIC untuk tempoh tiga tahun berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan itu dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Ia turut melibatkan pelantikan semula dua lagi anggota EAIC iaitu Lee Sow Siong dan Leong May Chan serta dua pesuruhjaya baharu iaitu Datuk Sabariah Hassan dan James Deva Nayagam Gnanaratnam.

Najib berharap pelantikan anggota suruhanjaya itu dapat memperkukuhkan lagi hala tuju EAIC dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan adil sekali gus memartabatkan integriti pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan di negara ini.

-- BERNAMA