Akibat dendam dan mengalami tekanan perasaan, seorang pelajar tingkatan lima bertindak menikam seorang guru kaunseling di sebuah sekolah di Banting, Selangor.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat kejadian berlaku di bilik pembantu warden sekolah berkenaan pukul 8.25 malam, pada Ahad.

"Suspek telah masuk ke dalam bilik tersebut dan menunggu mangsa, 33, untuk masuk. Apabila mangsa masuk dan sedang membuka kasut, suspek bertindak menikam mangsa dan berlaku pergelutan.

"Mangsa ditikam beberapa kali di bahu sebelum suspek melarikan diri. Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Banting dengan sebilah pisau masih tertanam pada bahunya," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata suspek yang sepatutnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini telah ditangkap sejurus selepas itu.

"Motif kejadian adalah dendam terhadap mangsa dan stres," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.