Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai daripada DAP pada Rabu diarah keluar dari persidangan Dewan Rakyat oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kerana melanggar arahan.

Keputusan itu dibuat Kiandee selepas Tan bangun dan mengganggu sidang dewan ketika Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan sedang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Loga Bala berkata beliau dimaklumkan terdapat operator pusat perjudian di kawasan Cheras menggunakan nama Tan untuk beroperasi, yang menyebabkan anggota Parlimen itu bangun dan meminta timbalan menteri berkenaan menarik balik kenyataan itu.

"Saya tak akan duduk kalau timbalan menteri tidak menarik balik fitnah yang tidak berasas. Kalau timbalan menteri berani, ulangkan kenyataan di luar dewan. Kalau tidak...penakut! Saya rela menerima cabaran di luar dewan," katanya.

Loga Bala kemudian menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau bukan menuduh Tan tetapi tanggapan pihak luar yang didengarinya.

"Kalau saya salah saya tarik balik. Tapi saya tak menuduh YB. Saya katakan ini andaian yang dikatakan di luar. Saya tak tuduh. Saya tak kata YB yang buat," jelasnya.

Tan kemudian bertegas meminta Kiandee mengarahkan Loga Bala menarik balik kenyataan tersebut, sebelum kekecohan berlaku dengan beberapa anggota Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan pihak pembangkang turut bangun mencelah.

Kiandee kemudian mengarahkan Tan keluar dewan kerana tetap berdegil dan mengganggu urusan mesyuarat.

Sementara itu, ketika menyambung penggulungan perbahasan RUU itu, Loga Bala berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) telah mengenal pasti kawasan berpotensi untuk dibangunkan dan pada masa ini pihak perbadanan sedang menyelesaikan isu berkaitan harta pusaka penduduk.

Katanya rundingan bersama pihak pemaju akan dilaksanakan selepas isu harta pusaka itu selesai dan ia adalah tertakluk kepada persetujuan pemilik dan pewaris tanah dalam memastikan keperluan mereka dipenuhi.

Berdasarkan pelan PKB, beliau berkata kawasan lapang sedia ada seperti di Kelab Sultan Sulaiman akan dikekalkan dan dinaik taraf dengan pelbagai infrastruktur termasuk tempat letak kereta dan ruang perniagaan yang membolehkan penduduk Melayu memulakan perniagaan bagi menampung pembangunan berintensiti tinggi.

"Penubuhan PKB selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kepentingan orang Melayu di kawasan Kampung Baru dipelihara," katanya sebelum Dewan Rakyat meluluskan RUU Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu.

-- BERNAMA