Seorang lelaki cedera akibat cubaan membunuh diri dengan mengerat tangannya sendiri di rumahnya, di Laluan Pusing Saujana, di sini, hari ini.

Mangsa, berumur dalam lingkungan 46 tahun, berjaya diselamatkan anggota bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.52 pagi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, dengan bantuan dari Pasir Puteh, bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, bomba mendapati terdapat seorang mangsa berbangsa Cina dalam cubaan untuk membunuh diri dengan mengerat tangannya dengan pisau di dalam rumah.

"Bagaimanapun, anggota bomba yang ada di lokasi berjaya memujuk mangsa dan membawanya ke hospital untuk tindakan rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Azmil Kamaluddin itu tamat pada pukul 7.03 pagi.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.