Isu-isu yang berkaitan dengan kesahtarafan anak di negara ini hendaklah sentiasa dirujuk kepada peruntukan dalam Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri-Negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha berkata perkara itu telah dipersetujui sebulat suara dalam satu pertemuan bersama-sama mufti bagi membincangkan isu anak tidak sah taraf pada 21 Ogos lepas.

Beliau berkata ia dihadiri oleh Mufti-Mufti Selangor, Kelantan, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dan wakil Mufti Sarawak.

BACA: Asyraf Wajdi jawab isu penamaan anak luar nikah

BACA: Tunggu keputusan mahkamah nasab anak tidak sah taraf orang Islam

BACA: Penasaban anak tak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada

Katanya keputusan itu turut melibatkan wakil-wakil dari Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang hadir pada pertemuan yang diaturkan Jakim untuk menzahirkan kesepakatan bersama dalam isu kesahtarafan anak.

"Peruntukan undang-undang ini juga selaras dengan fatwa yang diwartakan di negeri-negeri berkenaan dengan kesahtarafan anak dan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-57 pada 10 Jun 2003," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau Pentadbiran Negeri-Negeri antara lain memperuntukkan tentang seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki dan melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian.

"Dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu. Tetapi, lelaki itu boleh, dengan cara li'an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah," jelas beliau.

Pada 27 Julai lepas, negara dikejutkan dengan pendirian Mahkamah Rayuan yang menyatakan bahawa anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah, layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Susulan itu, Jabatan Pendaftaran Negara menerusi Jabatan Peguam Negara menfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

-- BERNAMA