Kesukaran segelintir anak muda mendapat pekerjaan di negara ini bukan kerana mereka memilih atau meminta gaji yang tidak realistik.

Demikian ujar Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata laporan terbitan Institut Kajian Khazanah berjudul “School-to-Work Transition of Young Malaysians” telah membuktikan semua dakwaan tersebut tidak sahih.

“Malah, anak muda Malaysia sanggup untuk mengambil pekerjaan yang lebih rendah dari kelayakan mereka. Berbeza dengan tanggapan biasa, anak muda sanggup untuk mengambil pekerjaan 3D (dirty, difficult, dangerous),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saya akan bangkitkan perkara ini di dalam Mesyuarat Kabinet...

Syed Saddiq berkata laporan itu mendapati 95% graduan muda mempunyai kelayakan lebih tinggi daripada pekerjaan mereka, manakala hampir 50% bekerja di sektor kemahiran rendah walaupun mempunyai kemahiran yang lebih tinggi.

“Masalah sebenarnya adalah anak muda Malaysia dibayar rendah, pada masa sama kos sara hidup yang meningkat, yang menjadi beban kepada belia hari ini,” katanya sebelum menambah beliau akan membangkitkan isu ini di dalam Mesyuarat Kabinet.

Syed Saddiq turut menggesa sektor korporat sepatutnya menstrukturkan semula skim gaji mereka.

Saya akan bangkitkan perkara ini di dalam Mesyuarat Kabinet...

“Jika kita tidak berbuat demikian, saya risau anak muda Malaysia akan terpaksa mencari peluang kerja di tempat lain,” katanya.

Laporan “School-to-Work Transition of Young Malaysians” yang diterbitkan pada Rabu antara lain menggariskan 11 dapatan utama, termasuk ketidakseimbangan antara kemahiran graduan dan permintaan majikan, graduan dan ibu bapa kurang gemar menceburi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan semakin ramai anak muda gemar meneroka bidang kerja baru dan tidak konservatif dalam sektor digital.