Ahmad Saiful Islam Mohamad yang ditahan dalam Ops Hiburan Bersepadu pada Jumaat malam, dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 6 petang Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob memberitahu, selain anak kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu itu, turut dibebaskan dengan jaminan polis ialah rakan suspek yang berusia 33 tahun.

Mereka ditahan polis selepas didapati positif ganja di sebuah pusat hiburan.

“Kedua-dua mereka dibebaskan lewat petang tadi dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Terdahulu, suspek yang berusia 31 tahun ditahan dalam Op Pusat Hiburan yang dijalankan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di premis yang terletak di Jalan Ampang.

BACA: Anak Mat Sabu ditahan positif ganja

Menurut laporan Sinar Harian, ketika operasi itu dijalankan, seramai 101 individu diperiksa membabitkan 46 lelaki dan 55 wanita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.