Lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke kilang pengeluaran acuan semikonduktur berketepatan tinggi, Towa Corporation dilihat bakal membuka lembaran baharu kerjasama dengan Malaysia.

Syarikat itu dijangka mengembangkan pelaburannya di Malaysia sebanyak RM100 juta untuk pembinaan kemudahan di Batu Kawan Pulau Pinang.

Selain kepakaran, turut membanggakan apabila salah seorang tenaga kerja pakar di syarikat berkenaan merupakan rakyat Malaysia kelahiran Machang Kelantan bernama Muhamad Aziza Zulkifeli.

Beliau sudah berkhidmat di syarikat itu sejak tahun 2012 selepas menamatkan pengajian di Universiti Yamaguchi.

“Budaya kerja di sini begitu ketat di mana antara tenaga kerja tidak berbual kosong ketika tugasan.

“Kita kekurangan kilang berteknologi tinggi sebegini di Malaysia, jadi kita perlu terus belajar untuk memastikan teknologi itu di bawa ke Malaysia dan membangunkan negara,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.



Perdana Menteri menghabiskan masa 40 minit meninjau operasi pengeluaran syarikat berkenaan yang menggunakan mesin teknologi tinggi dalam penghasilan bahan semikonduktur.

Jika usahasama itu berjaya diperluaskan, ia mampu meningkatkan pengeluaran produk semikonduktur di Malaysia yang mana menjadi tulang belakang eksport negara selama ini.