Hanya berbaki 48 jam sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 20 Jun ini, Barisan Nasional (BN) menamakan Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon parti itu.

Pengumuman dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang juga Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam majlis pengumuman calon BN bagi PRK Dun Chini pada Khamis.

Mohd Sharim yang juga seorang ahli perniagaan pernah berkhidmat sebagai pegawai kepada penyandang ADUN Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Anak kelahiran Felda Chini Tiga itu dilihat pertaruhan terbaik BN dalam mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti 7,675 undi menewaskan dua calon daripada PAS dan PKR.

PRK Chini adalah pilihan raya pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa bermula 18 Mac susulan pandemik COVID-19.

Semalam, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan mengumumkan BERSATU tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu bagi memberi laluan kepada calon BN.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin,64, mengumumkan dirinya sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil Dun Chini itu.

Manakala Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menyatakan tidak meletakkan calon berikutan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengundi ketika pandemik COVID-19 melanda negara ini.

Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Chini dijangka pada 20 Jun ini, manakala 30 Jun bagi hari undi awal dan 4 Julai bagi hari mengundi.