Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan anak timbalan menteri Pertahanan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz tidak dilantik sebagai sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Selain itu, beliau mengakui memberikan sokongan berhubung cadangan pelantikan anak timbalannya itu untuk memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan beliau tidak mencampuri urusan pelantikan, sebaliknya menyerahkan kepada syarikat tersebut untuk membuat keputusan.

"Macam dalam kes ini, saya melihat bahawa anak dia merupakan (graduan) Bachelor of Civil Engineering, dan dia juga seorang peniaga (ahli perniagaan) yang berjaya.

"Jadi kita memikirkan bahawa dia mungkin boleh membantu kerana apabila dia masuk ke sesebuah syarikat di bawah LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera). Tetapi, saya difahamkan dia tidak dilantik dan saya tidak masuk campur dari segi pelantikan.

"Terserah kepada LTAT dalam membuat pelantikan dan (LTAT) tidak memasukkan nama dia pun dalam pelantikan ahli lembaga pengarah. Jadi, setakat surat sahaja," katanya kepada pemberita, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata beliau tidak teragak-agak untuk memberikan sokongan kepada mana-mana individu yang mempunyai latar belakang yang baik dan berpengalaman.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut menafikan dakwaan bahawa Ikmal Hisham menyalahgunakan kuasa berhubung cadangan pelantikan anaknya itu.

"Ramai yang mengatakan dia salah guna kuasa, tetapi kalau dia nak salah guna kuasa, dia sendiri pun boleh terus (kepada pengerusi LTAT), tak perlu melalui saya.

"Tetapi dia tidak menggunakan kuasanya untuk terus kepada LTAT. (Sebaliknya) dia minta sokongan daripada saya," jelasnya.

Terdahulu, surat sokongan yang ditulis oleh Ikmal Hisham yang dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga, tular di media sosial.

Difahamkan, syarikat farmasi itu mempunyai beberapa kekosongan jawatan dalam lembaga pengarah berikutan persaraan tiga ahlinya baru-baru ini, sebelum mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan pada 20 Julai.