Memalukan! sepasang suami isteri menjadikan rumah kontena tempat berteduh dengan dua anak mereka sebagai tempat melepaskan gian dadah.

Perbuatan pasangan itu terbongkar selepas rumah kontena sempit yang terletak di tapak projek pembinaan perumahan di Felda Neram 1 diserbu penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kemaman, semalam.

Ketua Pegawai AADK Kemaman, Lokman Hakim Othman berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 7 pagi itu, pasangan berusia lewat 30-an merupakan antara sembilan penagih dadah yang ditahan pada operasi berkenaan.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati pasangan itu positif dadah malah, hasil pemeriksaan juga mendapati si suami turut memiliki dadah dipercayai jenis heroin.

“Ketika serbuan kita dapati dua anak mereka iaitu kanak-kanak lelaki dan remaja perempuan turut berada di dalam kontena itu.

“Sejurus tangkapan dibuat kedua-dua anak mereka diserahkan kepada keluarga terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Lokman Hakim berkata, daripada sembilan penagih yang ditahan, tiga daripadanya wanita.

Selain tangkapan di Felda Neram 1, tangkapan dibuat di Chukai, Binjai, Air Putih dan Cheneh.