Hutang lapuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sekiranya terus diwarisi, berkemungkinan besar akan melangkaui hutang 1MDB, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Dalam ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional AMK 2019 hari ini, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, berdasarkan unjuran, hutang PTPTN akan meningkat menjadi RM76 bilion dalam masa 20 tahun.

Atas sebab itu, beliau berkata, AMK akan terus menjadi suara pendesak dalam memastikan PTPTN dimansuhkan dan digantikan dengan cara yang lebih holistik dan mampan.

“Masalahnya, graduan bukan sahaja terbeban dengan hutang, tetapi juga pendapatan yang rendah. Hakikatnya, 68 peratus daripada peminjam PTPTN masih lagi berpendapatan rendah dalam kategori B40.

“Manakala, bebanan tanggungan kerajaan terus meningkat dengan penambahan RM2 - RM3 bilion bebanan terkumpul setiap tahun,” katanya di hadapan 500 perwakilan di Pusat Dagangan Antabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Dalam ucapan dasarnya, Akmal menggariskan lima perkara yang akan menjadi tumpuan perbahasan perwakilan AMK iaitu - pembentukan komuniti muda; pendidikan tinggi dan peranan mahasiswa; ekonomi anak muda; reformasi dan kepimpinan; dan displin organisasi.

Menyentuh mengenai soal pekerjaan, Akmal berkata, had penggajian pekerja asing wajib dikurang daripada 15 peratus jumlah tenaga kerja, kepada 10 peratus, dalam tempoh lima tahun.

“Dasar pentadbiran sebelum ini menghadkan penggajian pekerja asing di Malaysia tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja.

"Jumlah pekerja asing yang dibenarkan adalah sekitar 2.3 hingga 2.4 juta orang.

“Berdasarkan takrifan ini, jumlah pekerja asing masih terkawal. Malah, kita boleh ambil lagi 300,000 hingga 400,000 pekerja asing. Sedangkan masih ramai rakyat tempatan tidak memiliki kerja,” katanya lagi.