Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung pengambilalihan aset FGV Holdings Berhad.

Menurut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan.

“Masih di peringkat perbincangan sekarang, dan ia disuarakan (meneliti perkara itu).

“Kita akan bincangkan di peringkat Pakatan Harapan supaya ia tidak berulang seperti yang berlaku kepada
FGV, dan bentuk-bentuk yang disebut tadi pun belum ada satu benda yang konkrit lagi hanyalah di peringkat khabar angin sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.

BACA: Jangan biarkan pihak ketiga kuasai FGV - Mazlan Aliman

Ditanya mengenai dakwaan bahawa Lembaga Pengarah FELDA akan menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi berbincang mengenai perkara itu, Mohamad berkata; “Ia tidak benar.”

Bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang berniat untuk mengambil alih syarikat tersebut, Mohamad berkata, kerajaan perlu meneliti perjanjian dan syarat yang dikemukakan.

Terdahulu, tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dilaporkan mempunyai pelan untuk menguasai FGV dengan membeli 20 peratus kepentingan dalam syarikat gergasi perladangan itu.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah Datuk Mazlan Aliman, ketika ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional 2019 turut menyentuh mengenai perkara sama.