Kerajaan Malaysia tidak boleh melengah-lengahkan lagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan ianya boleh dilakukan di dalam beberapa hari sahaja sekiranya kerajaan benar-benar ingin menangani kes-kes kematian di lokap yang terus berlaku di Malaysia Baharu.

"IPCMC harus menjadi hadiah kepada rakyat Malaysia pada Hari Malaysia ini, menunjukkan kerajaan berpegang kepada janji ianya komited kepada hak asasi manusia," kata bekas Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) Datuk Ambiga Sreenevasen.

Ambiga turut menyeru Kerajaan Pakatan Harapan supaya mempertanggungjawabkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan penubuhan IPCCM kerana draf penubuhan sudah dibutirkan secara terperinci oleh agensi tersebut.

"IRC ada menyebut berkenaan kes kematian di dalam lokap di dalam laporan kami dan orang ramai harus meminta laporan IRC dibentangkan kepada umum," kata Ambiga.

Beliau berkata demikian di majlis pelancaran laporan "5 Wajah: Kisah Kematian di dalam Penahanan Polis di Malaysia", anjuran Lawyers for Liberty (LFL).

Laporan tersebut memperincikan lima dari kes kematian di dalam lokap yang paling teruk di Malaysia baru-baru ini.

Kes-kes di dalam laporan tersebut adalah kes Kugan Ananthan, 22 tahun pada 2009; Sugumar Chelladury, 39 tahun pada 2013; Karuna Nithi Palani Velu, 42 tahun pada 2013; Dharmendran Narayanasamy, 31 tahun pada 2013 dan Balamurugan Suppiah, 44 tahun pada 2017.

"Di dalam kesemua kes tersebut, kami mendapati ahli-ahli patologi dan koroner yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mangsa bersubahat dengan pihak polis bagi menyembunyikan sebab sebenar kematian mangsa di dalam lokap polis," kata peguam N Surendran dari LFL.

Tambah Surendran, meskipun badan mangsa menunjukkan kesan lebam dari pukulan, laporan bedah siasat menyatakan mangsa-mengsa meninggal akibat penyakit dan sebagainya.

"Media massa juga selama ini tidak mengambil berat kes kematian di dalam lokap dan institusi seperti parlimen dan Jabatan Peguam Negara (AGC) juga tidak langsung membantu, malah ada polis yang terlibat hanya dipenjarakan selama tiga tahun kerana membunuh," kata Surendran.

Peguam Eric Paulsen pula mempersoal ketiadaan keadilan di dalam kes-kes kematian di dalam lokap meskipun ada bukti CCTV yang kukuh yang menunjukkan mangsa didera dan tidak bermaya berserta dengan mesej-mesej Whatsapp yang bersifat melampau oleh pegawai polis.

"Di dalam kes Karuna Nithi, terdapat 49 kecederaan, termasuk rahang patah, namun ahli patologi menyatakan mangsa mati kerana kerosakan hati minimum. Kesan lebam di dada dikatakan berpunca dari hentakan dari cubaan CPR (pemulihan denyutan jantung). Ada bukti dari CCTV tidak ada CPR dilakukan.

"Di dalam kes Balamurugan, mesej whatsapp dari pegawai polis jelas menunjukkan pegawai polis tidak mengendahkan arahan majistret membawa mangsa ke hospital, tetapi arahan dari pegawai polis tinggi untuk "mengenakannya".

"Mesej daripada pegawai polis adalah : "Keling ini macam mana? Kasi dia Carlsberg, confirm dia ok." Mesej yang begitu berbaur perkauman," kata Paulsen.

Paulsen menyatakan setiap kes kematian di dalam lokap harus dianggap serius dan lebih teruk lagi adalah kes kematian mangsa tidak berdokumen di dalam pusat penahanan imigresen.

"Ini adalah kerana mereka yang mati di dalam pusat penahanan ini adalah mereka yang tidak berdokumen dan pihak keluarga tidak dapat tampil ke depan kerana mereka juga tidak berdokumen. Ahli patologi juga bersubahat dalam memberikan sebab sebenar kematian di dalam pusat penahanan," kata Paulsen.

LFL dan Ambiga berkata mereka ingin berjumpa dengan pihak polis dan pihak kerajaan, khasnya Menteri Kesihatan, Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara bagi memastikan pihak polis tidak lagi menyebabkan kematian di dalam lokap.