Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara masih terkawal setakat 11.30 pagi tadi walaupun jumlah kenderaan bertambah berikutan cuti persekolah menjelang Hari Raya Aidilfitri serta cuti hujung minggu.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Penolong Jurutera Kanan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Asyraf Rohan, berkata keadaan trafik meningkat terutama di lebuh raya menghala ke arah utara, namun di bahagian selatan dan timur, keadaaan trafik masih lagi lancar.

“Untuk keadaan trafik hari ini, tiada peningkatan trafik secara mendadak. Cuma keadaaan trafik dilihat bertambah berbanding hari hujung minggu yang biasa.

“Keadaan trafik dilihat perlahan menuju ke utara, di sekitar Gua Tempurung ke arah Gopeng.

“Keadaan trafik di Jambatan Pulau Pinang juga kelihatan agak perlahan, lebih kurang 5 kilometer disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraanyang bermula di kilometer 0.4 sehingga 1.7 kilometer menuju ke arah pulau yang menyebabkan penutupan lorong kanan.

Asyraf turut memaklumkan aliran trafik di sekitar Lembah Klang bergerak perlahan di beberapa lokasi.

“Hal ini mungkin disebabkan warga kota mengambil peluang untuk pergi beli barangan dan membuat persiapan untuk keperluan Aidilfitri akan datang,” tambahnya.

Pihak LLM menjangkakan jumlah kenderaan akan bertambah dengan mendadak bermula 13 dan 14 Jun ini.