Polis pada Isnin menahan Mohd Ali Baharom, 44, atau lebih dikenali Ali Tinju susulan kenyataan yang dibuat di hadapan kompleks beli belah Kota Raya pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata Ali ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 7 petang Isnin.

"Dia (Ali) ditahan susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan menerusi Whatsapp.

Beliau berkata, telefon mudah alih milik Ali turut dirampas bagi membantu siasatan kes.

Polis akan membuat permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada Selasa.

Ali disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan bagi menghasut benci atau membangkitkan perasaan perkauman di Malaysia.