Sejumlah 346 orang yang didapati berkait dengan elemen Daish dan aktiviti keganasan telah ditangkap sehingga 6 Oktober lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah tersebut, 95 orang adalah rakyat Malaysia.

"Saya mengambil contoh tentang penangkapan dan tindakan ke atas elemen Daish di Malaysia di mana sehingga 6 Oktober lalu seramai 346 orang yang telah ditangkap melibatkan 95 orang rakyat Malaysia.

"Kita dapati bahawa yang masih berjihad di Iraq dan Syria seramai 53 orang, 34 daripada 95 orang telah menemui maut di sana.

“Walau bagaimanapun dengan kerjasama yang dibuat bukan sahaja dengan Interpol tetapi juga beberapa agensi perisikan antarabangsa, kita yakin beberapa tangkapan yang dilakukan baru-baru ini telah menyebabkan unsur-unsur keganasan ini telah dapat ditangani,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

Pada masa sama, Zahid menegaskan kerajaan telah melakukan beberapa tindakan untuk menangani masalah pemerdagangan orang terutamanya menerusi penandatanganan dan pelaksanaan terhadap resolusi yang ditentukan melalui UN Convention On Transnational Organized Crime yang mana pencapaiannya cukup berjaya.