Kumpulan Utusan mengumumkan akan meneruskan operasi penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo di sebalik dakwaan syarikat itu akan gulung tikar.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, operasi Utusan Malaysia dan Kosmo akan terus diterbitkan seperti biasa, namun harga jualan kedua-dua akhbar berkenaan akan dinaikkan.

Utusan Malaysia, kata beliau, akan dijual pada harga RM2 berbanding RM1.50 sebelum ini sementara harga baharu Kosmo pula RM1.50 daripada harga asal RM1.

Harga baharu itu akan berkuat kuasa Jumaat ini (23 Ogos).

Menurut Abd Aziz, kenaikan harga kedua-dua produk Kumpulan Utusan itu dijangka meningkatkan perolehan sekali gus akan membantu mengeluarkan syarikat daripada kemelut kewangan.

Utusan berdepan dengan krisis kewangan sehinggakan pengurusan syarikat itu tidak mampu melunaskan bayaran gaji kakitangan serta pampasan kepada 800 bekas pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).