Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mencipta sejarah hari ini apabila melantik seorang Orang Asli daripada suku kaum Semai sebagai Ketua Pengarah yang baharu.

Ajis Sitin merupakan Orang Asli pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah setelah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah JAKOA sebelum ini.

Beliau berasal dari Kampung Orang Asli Kuala Koyan, Kuala Lipis, dan mempunyai pencapaian pendidikan
dan profesional yang mengagumkan.

Antaranya adalah khidmat beliau sebagai seorang jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Hutan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan pelantikan Ajis di Pejabat JAKOA, Bera, hari ini.

Menurutnya, pelantikan Ajis membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menjaga kebajikan dan kemajuan masyarakat Orang Asli.

“Beliau merupakan individu dari kalangan masyarakat Orang Asli pertama yang dilantik menjadi pegawai tertinggi dalam kerajaan dan ini adalah satu pencapaian yang besar. Hari ini adalah hari yang bersejarah buat JAKOA.

“Ini adalah sebahagian daripada janji BN dan janji saya terhadap masyarakat Orang Asli bahawa JAKOA akan diterajui oleh mereka sendiri,” katanya.

Ismail Sabri turut berkata kerajaan BN akan terus memperkasakan masyarakat Orang Asli berbanding Pakatan Harapan yang mahu menghapuskan JAKOA dan menjadikannya sekadar wakaf.

"Kerajaan terus memperkasa masyarakat Orang Asli bukan sahaja daripada sudut pendidikan, prasarana tetapi juga dari sudut memegang jawatan yang penting dalam kerajaan.

“Ini yang bezanya kita dengan pembangkang. Saya difahamkan mereka ingin membubarkan JAKOA dan menukar status kepada wakaf sahaja. Kita bukan sahaja mengekalkan JAKOA tetapi memberi pengiktirafan,” katanya.

Jelasnya kerajaan telah membuat beberapa perubahan struktur lain di peringkat negeri seperti pelantikan pengarah JAKOA peringkat negeri Pahang dan Perak yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

“Kebanyakan isu yang menjejaskan masyarakat Orang Asli berlaku di negeri pembangkang seperti di Kelantan yang mana isu pembalakan menyebabkan masyarakat itu terjejas,” katanya.