Sempena 50 tahun penubuhan ASEAN, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia melancarkan rekaan badan pesawat khas (livery) ‘I Love ASEAN’ dengan identiti 10 negara anggota ASEAN.

Livery Airbus 320-216 berkenaan dihiasi rekaan diinspirasikan daripada ciri-ciri autentik yang begitu sinonim dengan 10 negara anggota ASEAN seperti tekstil, seni bina dan alam semulajadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes, sebagai sebuah syarikat penerbangan ASEAN, AirAsia ingin menyatukan masyarakat di rantau ini selaras dengan usaha ASEAN sepanjang 50 tahun penubuhannya.

"Sebagai syarikat penerbangan yang lahir dalam kalangan negara ASEAN, kami amat berbesar hati memperkenalkan reka bentuk istimewa itu pada sambutan jubli emas ASEAN pada tahun ini,”"kata Fernandes ketika ditemui media Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Filipina di sini pada Selasa.

Livery itu memaparkan rekaan batik cetak (Malaysia), poom khao bin (Thailand), ulos Batak (Indonesia), tapis (Filipina), trong dong (Vietnam), kbach pka Chan (Kemboja) Lao phouthai (Laos) chate (Myanmar), jongsarat (Brunei) dan Vanda Miss Joaquim (Singapura).

Pesawat berkenaan diperkenalkan di majlis pelancaran ‘AirAsia Loves ASEAN’, sebuah inisiatif bersiri yang memberi tumpuan kepada pendidikan, pembangunan bakat dan ekonomi untuk meraikan sambutan jubli emas ASEAN pada tahun ini.

Inisiatif tersebut merangkumi Kerjasama AirAsia dan Universiti-Universiti ASEAN, Hari Usahawan ASEAN, Kem Wartawan ASEAN dan Program Mobiliti AirAsia Allstars.

"AirAsia Loves ASEAN adalah salah satu inisiatif yang telah kami rencanakan untuk menyumbang kembali kepada rantau ASEAN bersama dengan promosi berterusan ke destinasi ASEAN menerusi penjenamaan serta usaha pemasaran yang membolehkan kita menyatukan komuniti dan ekonomi.

"Pada masa yang sama, ASEAN maju kearah integrasi dan persefahaman yang lebih baik," kata Fernandes.

Menerusi usahasama bersama universiti ini, AirAsia akan memberi peluang kepada para graduan dari rantau ini untuk menjalani latihan industri dalam pelbagai bidang di syarikat penerbangan tersebut, dengan peluang untuk menjamin pekerjaan sepenuh masa selepas tamat pengajian.

Hari Usahawan ASEAN akan mengukuhkan komitmen AirAsia terhadap usahawan-usahawan ASEAN dengan mengadakan forum latihan bersama startup terbaik di ASEAN dan sebuah platform untuk membangunkan dan memasarkan bisnes mereka, bermula dengan jenama pelakon, pengacara dan VJ Indonesia Daniel Mananta, “Damn! I Love Indonesia”.

Bagi menggalakkan liputan yang lebih baik mengenai ASEAN, AirAsia akan menjadi tuan rumah Kem Wartawan ASEAN, sebuah bengkel khas bagi wartawan mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai jenama regionalisme ASEAN, cara organisasi berfungsi, sosial, pembangunan dan isu integrasi serta pelancongan berasaskan komuniti.

Manakala AirAsia Allstars (kakitangan AirAsia) akan berpeluang untuk bekerja dan menetap di negara ASEAN lain menerusi Program Mobiliti Allstars.

Program ini bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya di peringkat kerjaya dan peribadi.

Kini, kesemua pesawat AirAsia yang beroperasi di rantau ini juga akan memaparkan bendera ASEAN, sebagai tambahan kepada bendera kebangsaan mereka.