Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X Bhd akan menggantung perkhidmatan penerbangan harian ke dan dari Auckland, New Zealand, bermula 11 Feb, 2019, susulan kajian semula rangkaian berkala yang bertujuan menambah baik kecekapan operasi.

"Sebagai sebahagian daripada kajian semula itu, AirAsia juga akan menyatukan kapasitinya di laluan tersebut daripada tujuh kali seminggu kepada empat kali seminggu bermula 29 Jan, 2019," kata syarikat sekutunya, AirAsia Bhd, dalam satu kenyataan hari ini.

Pelanggan yang telah membeli tiket akan ditawarkan pilihan sama ada bertukar penerbangan, laluan semula, akaun kredit atau bayaran balik penuh.

"Pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi emel, SMS atau panggilan berdasarkan butiran hubungan yang disediakan dalam tempahan asal.

"AirAsia amat menggalakkan semua pelanggannya mengemas kini butiran hubungan mereka di airasia.com bagi memastikan mereka dapat dihubungi bagi bantuan selanjutnya," kata syarikat penerbangan itu.

-- BERNAMA