Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan menerima sebarang wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, beliau akan berbincang dengan peguamnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

“Saya telah disiasat oleh dua pihak berhubung dakwaan kononnya saya menerima sejumlah wang yang dikatakan berkaitan 1MDB. Pertama siasatan oleh pihak PDRM dan kedua oleh pihak SPRM sebelum ini.

“Namun saya telah memaklumkan kepada mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan sejumlah wang yang ditunjukkan salinan cek berkaitan kepada saya oleh pihak PDRM dan SPRM itu.

“Saya juga telah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti dinyatakan. Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya hari ini berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Kata beliau, individu dan entiti yang menerima kompaun itu diberi tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

Latheefa berkata, secara purata individu terbabit menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta, sementara entiti terlibat menerima wang sehingga RM134 juta.