Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ulya Aqamah Husamuddin memohon pimpinan tertinggi parti untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tergempar bagi membincangkan beberapa perkara yang menjadi kontroversi sejak kebelakangan ini.

Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, hala tuju parti, termasuk kebersamaan dengan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul iaitu melalui perhimpunan agung tahunan atau luar biasa.

Jelasnya lagi, hak menentukan hala tuju parti itu bukanlah milik eksklusif pimpinan tertinggi semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan penyertaan akar umbi sekali.

“Kami (Armada) ingin mereka (pemimpin) semua ingat, parti ini prinsipnya di bawah perjuangan rakyat dan didepani akar umbi dan peringatan kepada semua pimpinan.

“Harus diingatkan bahawa Armada ini merangkumi lebih 50 peratus keahlian parti. Jadi tolong dengar suara kami bila kami mahukan mesyuarat. Saya dan YB Syed Saddiq (Ketua Armada Bersatu) yang juga ahli MPT, meminta mereka (pimpinan tertinggi) untuk memanggil mesyuarat MPT kalau mereka ada di pihak yang benar,” katanya lagi dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Selain isu hala tuju parti, Ulya Aqamah berkata, mesyuarat berkenaan juga boleh menentukan sama ada pelucutan keahlian lima Ahli Parlimen Bersatu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Dr Maszlee Malik, Syed Saddiq dan Amirudin Hamzah adalah berlandaskan perlembagaan ataupun tidak.