Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terkilan selepas mendapati permintaan penambahan pinjaman berjumlah US$750 juta terus dibuat kepada Datuk Seri Najib Razak bertujuan memaksa BOD bagi meluluskan pinjaman berkenaan.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata, perkara itu dibincangkan oleh BOD 1MDB semasa mesyuarat di Menara IMC pada 4 April, 2011.

Menurut Shahrol Azral, mesyuarat berkenaan membincangkan surat bertarikh 18 Feb, 2011 daripada Putera Turki bin Abdullah dan Tarek Obaid dari PetroSaudi International Limited (PSI) kepada Najib selaku pemegang saham 1MDB.

"Seingat saya, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (Pengerusi Lembaga Pengarah) hanya memaklumkan mesyuarat secara lisan. Di antara isi kandungan surat Tarek Obaid adalah cadangan untuk 1MDB menambahkan pemberian pinjaman menerusi nota Murabaha, berjumlah US$750 juta.

"Pihak BOD pada masa itu merasa terkilan kerana permintaan penambahan hutang ini dibuat secara terus kepada pemegang saham 1MDB iaitu Datuk Seri Najib, seolah-olah dengan tujuan untuk 'forcing the hand of the BOD' meluluskan penambahan pinjaman ini," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan 1MDB.

Namun, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata setelah mengambil kira perhubungan PSI dan 1MDB adalah perhubungan G to G (Kerajaan kepada Kerajaan) dan Najib telah lebih awal memberikan persetujuan beliau, BOD menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat analisis lanjut mengenai penambahan hutang ini.

"Ianya termasuk terma Nota Murabaha dan sumber wang jika 1MDB mahu meneruskan pemberian pinjaman berkenaan," katanya.

Semalam saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mencadangkan supaya projek usahasama antara 1MDB dan PSI yang tidak aktif diubah dari bentuk ekuiti kepada bentuk Nota Murabaha kerana 1MDB tidak boleh menamatkan usahasama itu begitu sahaja kerana ia melibatkan hubungan dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia.

Saksi penting pendakwaan itu turut mengesahkan beliau hadir pada mesyuarat berkenaan dan antara BOD yang hadir ialah Che Lodin, Datuk Ong Gim Huat (Pengarah), Tan Sri Ismee Ismail (Pengarah), Ashvin Jethanand (Pengarah), Radhi Mohamad dan Goh Gaik Kim (Setiausaha).

Shahrol Azral semasa dirujuk mengenai surat daripada Putera Turki bin Abdullah dan Tarek Obaid bertarikh 18 Feb, 2011 itu berkata beliau tidak pernah melihat surat berkenaan sebelum ini.

"Bagaimanapun, surat ini menunjukkan bahawa Putera Turki bin Abdullah menyatakan ada cara baru bagi kedua-dua negara (Malaysia dan Arab Saudi) untuk meneruskan usahasama antara negara melalui pelaburan bersama," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA