Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai dan bekas keraninya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dakwaan menyeleweng Dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berjumlah lebih RM300,000 dua tahun lalu.

Tertuduh Hasan Abd Rahman, 57; dan Khuzaimah Abdullah, 34, yang masing-masing dihadapkan atas 34 pertuduhan berasingan, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut 34 pertuduhan terhadap Hasan, dia yang diamanahkan ke atas peruntukan dana NBOS tahun 2016 untuk negeri Melaka bagi projek tanaman jagung, ternakan rusa dan tanaman pisang, sayuran gantian cili, didakwa melakukan pecah amanah dengan menandatangani cek bernilai keseluruhan RM318,400 untuk mendapatkan wang.

Kesemua pembayaran itu bagaimanapun didakwa tidak diterima oleh penerima projek tersebut.

Foto Astro AWANI

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai sekitar 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Sementara itu, Khuzaimah yang juga bekas kerani di Japerun turut berdepan 34 pertuduhan atas dakwaan sama bersubahat dengan ADUN berkenaan untuk melakukan pecah amanah melibatkan nilai dan tempoh masa sama.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan juga denda.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Gan Peng Kun mencadangkan jaminan RM50,000 terhadap kedua-dua tertuduh selain meminta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mohd Nasir pada penghakimannya kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Hasan diwakili peguam Hamidi Mohd Noh dan Mohd Haziq Zali manakala Khuzaimah diwakili peguam Ahmad Faiq Azizan dan Muhammad Nor Izzat Nordin.