Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal menggantung jawatan Adhif Syan Abdullah sebagai Ketua Armada Selangor.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebarang tindakan susulan parti terhadap beliau bergantung kepada keputusan mahkamah.

“Tiada keputusan dibuat setakat ini kecuali bagi parti, sebagai anggota, parti mempunyai hak untuk membuat keputusan demi masa depan (Bersatu).

“Kita perlu tunggu apa keputusan di pihak pengadilan. Mereka tidak boleh menjatuhkan kesalahan tanpa keputusan mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu di Yayasan Al-Bukhary, di sini pada Jumaat.

BACA: Kes dadah: Adhif Syan digantung jawatan Ketua Armada Selangor


Menurut Dr Mahathir, penggantungan itu akan kekal sehingga keputusan kes dibuat oleh pihak berkuasa.

Pada Isnin lepas, Adhif Syan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dengkil, Selangor serta empat pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi.

Kesemua mereka ditahan pada pukul 4.45 pagi di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Siasatan mendapati daripada 17 individu yang ditahan dalam serbuan polis itu, 16 daripada mereka disahkan positif dadah.

Sementara ujian kencing ke atas seorang lagi pula, bebas daripada penyalahgunaan dadah.

BACA: Muhyiddin serah kes ADUN ditahan kepada polis