SABAN hari kita mendengar keluhan dari berbagai pihak bahawa Malaysia adalah ketinggalan dari segi ekonomi berbanding negara lain seperi Korea, Hong Kong, Singapura atau Jepun.

Berbagai faktor akan diketengahkan termasuk kelemahan polisi-polisi kerajaan, sistem pendidikan yang tidak menekankan sains dan teknologi, sikap rakyat Malaysia yang malas atau faktor-faktor lain dari aspek sosiologi dan budaya.

Tetapi persoalan yang lebih utama ialah adakah negara-negara yang disebut di atas dalam keadaan yang lebih baik berbanding dengan negara kita terutama dari aspek kos sara hidup?

Persoalan penting yang berkait ialah adakah rakyat di negara-negara tersebut dalam keadaan yang lebih sejahtera dan bahagia berbanding kita? Ini kerana pada dasarnya tujuan memastikan kemajuan ekonomi berlaku adalah kerana keyakinan bahawa kemajuan ekonomi akan membawa kepada kesejahteraan masyarakat.

Apabila kita membanding negara kita dengan negara lain, adalah tidak memadai hanya dengan membandingkan aspek ekonomi seperti Keluaran Negara Kasar (KNK), pendapatan per kapita, kadar pertumbuhan ekonomi dan lain-lain. Kita semua tahu bahawa adalah tidak benar menyatakan bahawa seseorang yang kaya atau berpendapatan tinggi adalah lebih berjaya atau lebih bahagia berbanding dengan seorang yang berpendapatan rendah. Sebenarnya begitulah juga dengan perbandingan antara negara-negara. Hanya mereka yang berfikiran cetek akan mengatakan negara yang lebih kaya atau berpendapatan tinggi mempunyai masyarakat yang lebih sejahtera, harmoni dan bahagia berbanding negara yang kurang kaya.

Untuk membuktikan perkara ini marilah kita tengok keadaan yang sedang berlaku di beberapa negara Asia yang dikatakan lebih berjaya dari segi ekonomi berbanding Malaysia iaitu Singapura, Hong Kong dan Jepun.

Singapura adalah negara yang dikatakan paling kaya di Asia Tenggara. KNK per kapitanya adalah USD58,247.90 iaitu lima kali lebih tinggi berbanding Malaysia yang hanya mempunya KNK per kapita sebanyak USD 12,109.

[i] Namun apa yang jarang dikaji ialah dari aspek kos sara hidup yang sebenarnya jauh lebih tinggi di Singapura berbanding pendapatan. Sebagai contoh purata kos sewa bulanan sebuah apartmen biasa di Singapura ialah SGD $2,560 sementara purata gaji guru di sekolah menengah di Singapura ialah hanya S$4,734.5 sebulan. Ini bermakna separuh dari pendapatan akan dihabiskan hanya untuk membayar sewa. Menurut satu kajian yang membandingkan kos sara hidup antara Singapura dan Kuala Lumpur yang mengambil kira kos makanan, pengangkutan, kediaman, pakaian, dan hiburan, Singapura adalah 106 peratus lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur.

[ii] Oleh itu tidak hairanlah mengapa rakyat Singapura sangat berasa tertekan hinggakan hampir satu daripada lima rakyat Singapura antara umur 19 dan 30 tahun dilaporkan ingin berhijrah ke negara lain, manakala hampir sepertiga akan mempertimbangkan kemungkinan melakukannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

[iii] Di Hong Kong pula, pendapatan per kapita ialah USD38,784.80 iaitu lebih kurang tiga kali ganda angka di Malaysia. Namun dari aspek kos sara hidup ia adalah 149% lebih tinggi berbanding Malaysia. Yang paling teruk ialah dalam aspek kos kediaman iaitu 391 peratus lebih tinggi berbanding Malaysia. Walaupun gaji purata bulanan adalah HK$ 19,100 (RM10, 210.50) untuk lelaki dan HK$14,700 (RM7, 858) untuk wanita, namun purata kos sewa bulanan sebuah flat kecil satu bilik di pusat bandar ialah HK$16,551 (RM8, 848).

[iv] Menurut satu laporan pada tahun 2018, purata harga rumah adalah 20.9 kali median pendapatan isi rumah kasar.

[v] Laporan tersebut juga mengatakan bahawa kekecewaan golongan muda di Hong Kong dalam aspek kos kediaman yang terlampau tinggi adalah salah satu faktor utama kepada rusuhan yang sedang berlaku di Hong Kong sekarang ini. Dalam erti kata yang lain, isu politik adalah isu sampingan sahaja dan sebenarnya timbul akibat dari isu pokok iaitu masalah ekonomi khasnya isu kos perumahan.

Di Jepun pula KNK per kapita adalah USD41 ribu dan purata gaji guru sekolah menengah ialah RM11,583. Namun dari aspek kos sara hidup, Tokyo adalah 147 peratus lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur.

[vi] Dari aspek perumahan, Tokyo adalah 285 peratus lebih mahal berbanding Kuala Lumpur. Purata sewa apartmen di kawasan biasa ialah RM9,880. Ini bermakna kos sewa adalah hampir 90 peratus berbanding pendapatan. Akibatnya ribuan anak muda di Tokyo memilih untuk tinggal di dalam cyber cafe sahaja. Ramai tidak mampu untuk mendirikan rumah tangga dan oleh itu kadar kelahiran anak di Tokyo telah jatuh mendadak iaitu hanya 1.20 (bagi Jepun secara keseluruhan ialah 1.42) sedangkan kadar yang diperlukan untuk memastikan perkembangan populasi ialah 2.1.

[vii] Dari segi kos pengangkutan, tambang teksi sejauh 8km di Tokyo ialah RM120 berbanding hanya RM20 di Kuala Lumpur.

[viii] Sekarang ini Jepun juga menghadapi masalah kenaikan mendadak jumlah orang tua (65 tahun atau lebih). Pada tahun antara 1920 dan 1950 jumlah orang tua ialah hanya sekitar 5% berbanding jumpah penduduk.

Namun, susulan dari pertumbuhan ekonomi yang tinggi (dari tahun 1950-an hingga 1970-an), penduduk mula berumur. Pada tahun 2015 warga tua adalah 25% berbanding jumlah penduduk. Trend ini berkemungkinan akan berterusan pada masa akan datang dan perkadaran warga tua di Jepun dijangka mencapai 30% berbanding penduduk pada tahun 2025 dan hampir 40% pada tahun 2055.

ix] Satu lagi aspek masyarakat Jepun yang amat menyedihkan ialah bertambahnya kejadian `mati keseorangan’ (dipanggil Kodokushi dalam Bahasa Jepun). Ini kerana ramai warga Jepun tidak berkeluarga atau tidak mempunyai ramai anak.

Akibatnya ramai warga tua tinggal keseorangan dan akhirnya juga mati keseorangan. Kematian mereka hanya disedari selepas beberapa bulan atau tahun apabila sewa, atau bil letrik dan air tidak dibayar dalam temph yang lama. Masalah ini dijangka akan bertambah di masa-masa akan datang.

[x] Negara terakhir yang kita akan kaji secara ringkas ialah Korea yang pendapatan kapitanya adalah USD31,362.

[xi] Purata gaji bulanan guru sekolah menengah ialah Won 2,586,000 atau RM9 ribu sebulan.

[xii] Namun dari aspek kos sara hidup Seoul adalah lebih tinggi sebanyak 46% berbanding Kuala Lumpur.

[xiii] Dari aspek kos kediaman, sewa bulan bagi apartmen biasa ialah RM4,490 atau lebih kurang 50% dari pendapatan bulanan. Dari segi kos pengangkutan, tambang teksi untuk perjalanan sejauh 8 km ialah RM33 berbanding hanya RM20 di Kuala Lumpur.

Tekanan terhadap institusi keluarga akibat dari kenaikan kos sara hidup ini dapat dilihat dari kejatuhan kadar kesuburan atau fertiliti di Korea yang telah menurun dengan mendadak dari 6 pada tahun 1960 menjadi hanya 0.98 pada tahun 2018.

[xiv] Korea juga mengalami masalah perkadaran warga tua di mana data menunjukkan warga berumur lebih dari umur 65 tahun adalah 6.8 juta pada tahun 2016 iaitu 13.6% dari jumlah penduduk.

[xv] Akhir sekali di Korea juga wujud fenomina yang meningkat dalam aspek mati keseorangan (dikenali dengan istilah `godoksa’). Beza dengan Jepun ialah purata umur adalah lebih muda. Menurut Yayasan Kebajikan Seoul, 62% daripada 366 kes `godoksa' yang direkodkan di Seoul pada tahun 2018 adalah lelaki berumur antara 45 hingga 65 tahun.

[xvi] Apa yang dapat dirumuskan ialah negara-negara Asia yang dikatakan maju di atas sebenarnya sedang menghadapi berbagai-bagai masalah. Bahkan ada masalah yang sudah pun sampai ke tahap krisis yang akan memberi kesan yang sangat negatif dari aspek kesejahteraan masa depan masyarakat mereka.

Malangnya masalah tersebut tidak disedari oleh penggubal dasar negara kita dan oleh itu mereka masih tidak henti-henti menyatakan betapa negara kita adalah ketinggalan dan perlu mencontohi negara-negara yang dibincangkan di atas. Mereka langsung tidak menyedari bahawa jika kita berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi dan teknologi yang menyamai negara-negara tersebut, kemungkinan besar kita juga akan menghadapi berbagai masalah yang sama dihadapi oleh mereka.

Bahkan telah wujud tanda-tanda bahawa itulah yang sedang berlaku. Sebagai contoh ramai (terutama dari kalangan anak muda) sedang mengeluh dengan masalah kos sara hidup sehingga terpaksa menangguhkan rancangan mendirikan rumah tangga. Akibatnya kadar kesuburan atau fertiliti negara kita juga telah menurun.

Menurut Penunjuk Demografi Terpilih di Malaysia, kadar fertiliti keseluruhan wanita Malaysia berusia 15 hingga 49 dianggarkan hanya 1.9 kanak-kanak sahaja.

[xvii] Ini adalah kejatuhan yang mendadak berbanding situasi pada tahun 1960 di mana kadar tersebut ialah lebih dari 6.

Sudah sampai masa kita semua memikir kembali dengan sedalam-dalamnya bukan sahaja arah pembangunan negara bahkan juga polisi-polisi yang diperlukan untuk memastikan bahawa negara kita akan tetap sejahtera walaupun ekonomi kita juga bertambah maju.

Dalam aspek ini sudah tentu garis panduan yang diberikan oleh ajaran agama kita perlu dikaji dan difahami dengan sebenar-benarnya. Allah SWT telah menghantarkan kepada kita seorang Rasul yang menyampaikan wahyu dariNya dan sudah tentu Allah SWT mahukan kita semua menjadi sejahtera bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.


* Prof Nazari Ismail ialah mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya. Beliau juga aktif menggerakkan usaha pemulauan dan sekatan (Boycott, Divestment, Sanctions – BDS) menentang kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat.

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.