Terdapat pihak luar yang lebih ganas sedang memerhatikan suasana semasa dalam negara pada ketika ini, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, bukan sahaja kuasa asing bahkan ada pihak tertentu yang mempunyai agenda untuk mewujudkan suasana tidak kondusif dalam negara.

Jelasnya, pihak keselamatan dan risikan sedang memerhati perkembangan berkenaan dari semasa ke semasa.

“Saya tahu ada pihak di luar sana yang mengintai kita, bukan sahaja kuasa asing tetapi pihak lebih ganas yang ingin melihat negara kita tidak stabil, rantau kita tidak padu. Ketidakstabilan itulah akhirnya mewujudkan satu suasana yang tidak kondusif seperti yang kita nampak di rantau lain.

“Itu satu perkara yang cukup serius. Pihak-pihak keselamatan dan risik sedang mengikuti perkembangan terkini,” katanya selepas majlis ramah mesra warga Kem Desa Pahlawan dan perasmian Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Kem Desa Pahlawan di sini.

Hishammuddin, yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, turut tidak menolak kemungkinan wujudnya campur tangan kuasa asing dan bantuan luar yang membantu pihak tertentu seperti yang diperkatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi bahawa wujudnya campur tangan asing dalam urusan politik negara untuk tujuan menyokong mereka yang menentang Barisan Nasional (BN).

Menurut Hishammuddin lagi, dakwaan itu ada asasnya namun semua pihak diminta bersatu dan menjaga kedaulatan negara dari anasir asing yang ingin melihat Malaysia bergolak seperti negara di rantau lain.

Katanya, tiada perkara yang dapat mengugat kedaulatan negara sekiranya rakyat bersatu mempertahankan keamanan.