Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik secara rasmi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan itu sudah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Jelas beliau, ia seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

"Yang pertama, kita meletakkan bintang pemakaian pangkat kepada Datuk Seri Acryl Sani dan kita ucapkan tahniah dan syabas kerana Acryl Sani telah pun dinaikkan pangkat selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Timbalan KPN.

"Semalam kita dah dapat surat berkenan Tuanku, maka hari ini adalah hari untuk kita meletakkan pangkat tersebut kepada Acryl Sani. Ini adalah merupakan majlis biasa yang kita lakukan untuk kita sama-sama menguar-uarkan kepada semua bahawa ini hari pertama Acryl Sani, dan dia telah pun dilantik sebagai Timbalan KPN dan saya bagi pihak kementerian mengucapkan tahniah dan syabas

Acryl Sani menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib mulai hari ini.

BACA: Acryl Sani pemangku Timbalan KPN yang baharu

Beliau yang memiliki kelulusan sarjana sains pengurusan dari Universiti Malaya menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP).

Sepanjang perkhidmatan, Acryl Sani telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antaranya ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.