Pelaburan Sarawak kini bukan hanya terhad dalam negeri semata-mata malah sampai ke luar negara.

Menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Sarawak memiliki ladang ternakan di Australia.

Malah, Ahad lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama delegasinya mengadakan lawatan ke Station Rosewodd di Kunnurura di barat Australia bagi meninjau perkembangan di ladang penternakan lembu milik SEDC.

Seterusnya delegasi ini melakukan lawatan ke Station Carmor Plains yang berkeluasan 100 ribu ekar di Darwin yang mana stesen ini bakal menjadi milik SEDC.

"Di sana terdapat hidupan separa liar dan liar seperti kerbau, rusa, lembu dan buaya.

Stesen ini merupakan tempat pembesaran lembu yang dipindah dari Rosewood Station bagi memudahkan proses pengangkutan untuk tujuan eksport," katanya pada Sabtu.

Lebih menarik, stesen ini juga bakal dibangunkan sebagai Taman Safari bagi tujuan pelancongan.