Sejumlah 852 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam enam 'Ops Gasak' yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sejak 24 Nov tahun lepas di beberapa pulau di sini.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata dalam 'Ops Gasak 6' awal hari ini di Kampung Labuan Haji Pulau Bum Bum berdekatan dengan pekan Semporna, 527 orang ditahan termasuk 287 wanita.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Semporna untuk penelitian dan pengesahan dokumentasi pihak Jabatan Imigresen.

Mohammad berkata dua lelaki daripada yang ditahan itu masing-masing disyaki penagih dan pengedar dadah, dan mereka disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya.

"Ops Gasak yang kami mulakan sejak tahun lepas ini akan diteruskan dan diperluas ke kawasan lain di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

"Buat masa ini tumpuan kami ialah membersihkan Semporna daripada PATI, apatah lagi dengan berlakunya kes penculikan di Singamata Resort baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohammad menasihatkan orang ramai khususnya majikan di ESSZONE, supaya tidak melindungi atau menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

"Saya juga ingin mengingatkan pemimpin masyarakat terutama ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) agar melaporkan kepada pihak berkuasa atau balai polis berhampiran kehadiran orang yang mencurigakan atau PATI di kampung mereka masing-masing.

"Kami tidak mahu ada orang kita yang menjadi tali barut dan melindungi PATI khususnya penjenayah," katanya sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi lagi dengan mereka yang bersekongkol dengan PATI.