Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 82 notis kesalahan merokok di tempat makan dengan nilai kompaun berjumlah RM18,309 dari 1 hingga 3 Jan.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata notis itu dikeluarkan kepada individu yang menghisap rokok termasuk rokok elektronik dan vape di premis menjual makanan, pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan serta menyediakan kemudahan merokok.

"Bagi mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

"Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh notis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ultron Malaysia Kota Bharu New Year Nite Run 2020 dan program Walk Kelantan di sini, pada Sabtu.

Katanya bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan manakala kompaun sehingga RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Beliau berkata sejak 1 Jan, sebanyak 793 premis di negeri ini diperiksa bagi mengesan perokok dan pemilik premis yang ingkar.

Dr Zaini berkata JKNK akan terus melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasilnya Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 iaitu larangan merokok di semua tempat makan termasuk tempat makan terbuka.

-- BERNAMA